Seorang kanak-kanak perempuan di China menerima pujian ramai atas keberaniannya untuk tampil menyerah diri kepada polis kerana mencuri wang berjumlah 800 yuan (RM512) milik ibu bapanya semata-mata mahu membeli snek.

Budak berusia 10 tahun dikenali sebagai Zhang itu turut ditemani bapanya ke balai polis di Ningbo, wilayah Zhejiang ketika kejadian pada 22 Ogos lalu.

"Bapa suruh saya serah diri," katanya ketika disoal dua anggota polis, Jiang Huoming dan Dong Zhuting tentang kesalahan yang dilakukannya.

Zhang kemudiannya menjelaskan dia berbuat demikian kerana dilarang membeli snek di kedai serbaneka milik keluarganya.

"Niat bapa saya baik kerana dia bimbang ia boleh memberi kesan kepada kesihatan saya. Tetapi, saya berdegil," ujarnya.

Zhuting bagaimanapun menggunakan pendekatan lembut terhadap kanak-kanak itu dan hanya diminta menulis surat aku janji.

Zhang turut memohon maaf kepada bapanya setelah Zhuting berpuas hati dengan kandungan surat aku janji yang ditulis olehnya.

"Kita boleh perbetulkan kesilapan ini. Anda akan sentiasa menjadi seorang kanak-kanak yang jujur pada masa akan datang," kata anggota polis berkenaan sebagai isyarat kes itu telah selesai.

Kisah Zhang mendapat perhatian pengguna media sosial malah ramai yang memuji cara penyelesaian dalam bentuk mendidik yang digunakan bapanya dan pihak berkuasa. - Sinar Harian memetik agensi